DBKL Bersihkan Petak Kuning Depan Rumah Ambiga
Petaling Jaya: Kawasan jalan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk S Ambiga, di Bukit Damansara yang dicat dengan petak kuning telah dibersihkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ambiga mengesahkan perkara itu melalui 'Tweeter'nya kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Menerusi Tweeter, beliau mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL yang bertindak membersihkan petak dan tulisan yang dicat dengan warna kuning di hadapan rumahnya pada Isnin, oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Bersih 4.0.
"DBKL bekerja pada lewat malam untuk membersihkan garisan kuning. Sekarang polis sedang membuat pemeriksaan. Penghargaan untuk PDRM dan DBKL, begitu juga jiran-jiran," katanya melalui Tweeter yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Dalam 'tweet' yang berlainan, Ambiga turut memuji sikap staff-staf DBKL di bawah 'En.Zulkifli' yang disifatkan peramah dan efisyen dalam menjalankan tugas.
Pada Ahad, sekumpulan 60 peniaga dilapor merancang mengadakan pasar malam di hadapan kediaman Ambiga bagi mengaut semula kerugian mereka akibat perhimpunan anjuran Ambiga di ibu kota pada 28 April lepas.
Sehari kemudian, kumpulan yang diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-Peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md.Yunus mengecat 60 petak perniagaan di kawasan kediaman Ambiga untuk membuka gerai perniagaan pada hari Khamis dan Jumaat ini.
Walau bagaimanapun, Datuk Bandar Tan Sri Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata DBKL tidak akan memberi kebenaran kepada kumpulan ini berbuat demikian walaupun mereka mengemukakan permohonan kerana ia melanggar Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. -mstar
DBKL larang, anti-BERSIH tetap mahu niaga
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini tidak membenarkan sekumpulan 60 peniaga yang merancang untuk berniaga di kawasan kediaman pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga pada Khamis dan Jumaat ini.
Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menasihatkan agar kumpulan peniaga daripada Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) itu menggunakan saluran yang betul bagi membuat tuntutan.
"Kalau berterusan macam ni, benda ini akan bersambung dan tak habis-habis. Untuk mengadakan himpunan aman di kawasan rumah dia tak apalah, tapi nak dirikan gerai, DBKL tak benarkan di bawah Undang-undang Jalan, Parit dan Bangunan.
"Kerana bukan ada rumah Ambiga sahaja di situ. Jadi saya nasihatkan kalau nak buat, cari tempat yang sesuai dan yang dibenarkan," kata Ahmad Fuad ketika bertemu dengan wakil peniaga, Datuk Jamal Md Yunus di lobi bangunan DBKL, hari ini.
Selain itu, Ahmad Fuad turut menasihatkan MBPKL dengan berkata, tindakan untuk berniaga di hadapan rumah Ambiga juga akan memberi gambaran yang tidak elok pada negara luar dan generasi akan datang.
Katanya lagi, jika mahu membuat tuntutan kerugian, pihak MBPKL boleh menuntutnya melalui mahkamah sivil.
"Tak usahlah nak buat-buat macam ini, tak payah panjang-panjangkan lagi. Polis pun sedang ambil tindakan. Tuan boleh ambil tindakan dengan pergi ke mahkamah sivil tentang rugi dan sebagainya.
"Kalau semua tak nak ikut undang-undang, kita beri gambaran tak elok pada negara luar dan generasi akan datang. Saya nasihatkan saja. Kalau tuan-tuan buat (berniaga), saya akan ambil tindakan," katanya lagi.
Peniaga: Kami jalankan kerja kami
Mengulas mengenai tapak yang ditandakan dengan cat di sepanjang Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara dekat ibu negara, Ahmad Fuad berkata, pihaknya akan mengecat kembali jalan itu dengan warna hitam.
"Cat-cat petak tak boleh dibenarkan. Kalau dah buat (cat), kita akan cat hitam balik. Dan jika mereka tetap untuk berniaga (Khamis dan Jumaat), kita akan hantar penguatkuasa ke sana. Undang-undang mesti dihormati. Kita juga akan minta kerjasama daripada pihak polis," kata Ahmad Fuad.
Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas berjumpa Datuk Bandar, Jamal berkata, pihaknya akan meneruskan rancangan mereka untuk berniaga.
Jamal berkata, beliau dan peniaga lain hanya menjalankan tanggungjawab untuk mencari rezeki.
"Kami akan jalankan tanggungjawab kami untuk cari makan dan nak beritahu pada penganjur supaya bertanggungjawab. Kita hormat keputusan DBKL. Kami akan jalankan kerja kami dan DBKL akan jalankan kerja mereka.
"Kita akan tetap teruskan sehingga ada pihak yang menjawab siapa yang akan bertanggungjawab atas kerugian kami," katanya. -mk
No comments:
Post a Comment