Banyak sekali
perkara yang boleh kita pelajari daripada Sulalatus Salatin,
kesusasteraan historiografi kita. Antara lain, ketika kita berasa rumit
untuk memahami mengapakah Pas dan PKR kelihatan akrab dengan Datuk
Ambiga Sreenevasan, buku klasik itu pasti membantu.
Saya sebenarnya
sejak dulu tertarik kepada watak Raja Mendaliar. Namun, saya sendiri
tidak membuat tafsiran. Pada masa lepas, biarpun terdapat kupasan oleh
beberapa pengkaji kesusasteraan lama tentang tokoh ‘yang berjasa’ itu,
saya sekadar membacanya secara sambil lewa. Saya tertumpu pada teks,
bukan kupasan.
Sekarang,
setelah berlakunya siri Bersih, dan Ambiga mengambil peranan besar, maka
saya teringat kembali kepada Mendaliar. Peranan Ambiga masa kini dan
Mendaliar masa lalu tidak sama, tetapi ada keselariannya, dan
kedua-duanya berkesan dalam kehidupan bangsa kita.
Perhatikan
kisah ini: Seorang yang bernama Kitul bercerita kepada Mendaliar tentang
Bendahara yang kononnya hendak merampas kuasa raja Melaka. Mendaliar
membawa perkara itu kepada Laksamana. Laksamana mempercayai kata-kata
Mendaliar, lalu membawa kisah itu kepada Sultan, dan Sultan menjatuhkan
hukuman bunuh ke atas Bendahara. Jalan cerita yang ringkas ini
menunjukkan kuasa Melayu mempercayai Kitul dan Mendaliar.
Jadi, benarlah
ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada Sulalatus Salatin. Jalan
ceritanya tidak sama dengan jalan cerita Bersih, tetapi tokoh-tokoh
hebat seperti Kitul dan Mendaliar itu muncul di tengah-tengah kita kini.
Antara kita, tidak besar jumlah yang sedar.
Mungkin
Sasterawan Negara pada zaman Melaka (jika ada) menganggap Kitul dan
Mendaliar amat baik dan berjasa kepada rakyat dan negara. Sasterawan
Negara masa kini sudi menjadi penganjur bersama dengan Ambiga untuk satu
kegiatan yang difahaminya sebagai kegiatan bakti murni.
Kisah bagaimana
Mendaliar dapat menyesuaikan diri dan berhelah dengan menggunakan
pembohongan, dapat kita nikmati dalam Sulalatus Salatin. Kisah itu
sesuai dengan zaman itu, iaitu zaman tanpa pilihan raya. Kini, dalam
zaman pilihan raya, Ambiga mengetuai Bersih, satu kisah kemodenan.
Bicara yang
berasaskan historiografi seperti di atas dapat memperlihatkan sikap
dalaman orang Melayu. Akan kita temui bahawa kita mempercayai orang di
luar budaya. Ini memudahkan kita faham, misalnya mengapakah orang Melayu
bermusuhan sesama sendiri. Bagi saya, penemuan ini adalah akademik.
Oleh sebab
semua ini ada dalam Sulalatus Salatin, maka ini bukanlah kisah baru
orang Melayu. Saya cadangkan, sesiapa yang mahu memahami dasar fikiran
dan perasaan orang Melayu berhubungan dengan orang-orang seperti
Mendaliar dan Ambiga, ulangilah pembacaan Sulalatus Salatin. Karya
sastera moden tidak mudah sampai ke tahap fahaman demikian, melainkan
novel Senja Belum Berakhir karya Azizi Haji Abdullah.
Dalam kalangan
orang Melayu, jiwa feudal dianggap ketinggalan zaman, dan jiwa fanatik
mentaati orang seperti Ambiga tentulah lebih ketinggalan. Walau
bagaimanapun, sebagai rakyat yang maju dan luas pembacaan, kita
hendaklah menerima baik cara berfikir bangsa kita, baik feudal mahupun
fanatik. Baik atau buruk, ini ialah bangsa kita. Saya teringat baris
lagu yang dinyanyikan oleh ibu-ibu di kampung saya, ketika mendodoikan
anak mereka: hodoh buruk pun anak mak juga!
Kita tidak
dapat menikmati kasih sayang polis kita, kerana kita mempercayai unsur
Mendaliar yang terdapat dalam kegiatan Bersih. Ini bukanlah satu
cemuhan, tetapi satu pelukisan.
Dalam zaman
moden, kita lihat anak-anak muda dipengaruhi oleh si tua bangka dan si
tua banker untuk berbuat sesuatu yang di luar impian asal mereka. Saya
memahami istilah ‘tua bangka’ sebagai tua yang kurang fikiran, manakala
‘tua banker’ ialah tua yang ada duit. Si tua banker telah memberikan
duit belanja kepada sesiapa yang mahu menyertai perhimpunan Bersih.
Saya ingin
menegaskan, sejarah kita elok kita hargai dengan penghayatan. Sejarah
akan berulang, itu telah disebut-sebut oleh pelbagai pihak. Jika kita
faham akan hakikat itu, kita boleh memilih apakah segi yang patut
diulangi.
Mengapakah kita
memilih untuk mengulangi kisah orang Melayu menindas sesama Melayu?
Adakah ini ialah satu takdir yang tidak boleh dielakkan? Jika demikian,
teruskanlah. Hidup bangsaku.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment