Sunday, 23 October 2011

Anak Muda Dah Meluat Dengan PAS


HIMPUN: Manifestas​i Kekecewaan Gerakan Islam Kepada PAS

Oleh Helme Hanafi,

HIMPUN: Manifestas​i Kekecewaan Gerakan Islam Kepada PAS


Agendadaily – JIKA kita selalu menghadiri program ceramah besar-besaran PAS, kita akan dapati cara kerjanya (SOP) sama dengan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang diadakan di Stadium Shah Alam petang Sabtu.
Baik dari segi kedudukan petugas yang menyambut orang ramai, susun atur program, ungkapan takbir setiap kali habis ucapan, bentuk dan design banting yang tergantung di sekeliling stadium, dan paling terang sekali, sebelum penceramah terakhir berucap, keluar karung khas kutip derma, memang sah DNA PAS.
Bagi wartawan yang biasa liputi program UMNO dan PAS, sebahagian besar daripada 10,000 hadirin itu adalah aktivis-aktivis Islam yang sinonim dengan PAS bukannya UMNO.
Deretan belia dan beliawanis, berkopiah dan bertudung litup, duduk tertib dari awal hingga akhir majlis, jarang bertepuk tangan, memang sinonim dengan gerakan Islam di manapun.
“Mereka ini aktivis Islam yang selama ini menyokong PAS dan mula kecewa dengan Pakatan Rakyat,” kata seorang bekas pemimpin PKR pusat ketika kami terserempak di majlis tersebut.
Menurut beliau, majoriti yang hadir itu adalah golongan yang kecewa dengan pengaruh kumpulan Erdogan dalam parti Islam tersebut.
“Mereka merasakan PAS di era Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini terlalu berkompromi dengan isu-isu Islam seperti murtad yang sudah lama menjadi retorik dalam ceramah-ceramah PAS.
“Tapi mereka juga bukan penyokong apatah lagi pengundi UMNO, jadi HIMPUN menjadi medan mereka untuk menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap PAS Baru yang lari dari asas perjuangan dan retorik tradisi mereka,” katanya.
PAS dalam muktamar terakhirnya Jun lalu bahkan menukar konsep Negara Islam kepada Negara Kebajikan bagi menarik sokongan bukan Islam kepada parti itu.
Penganjur bersama HIMPUN, Dr Yusri Mohamad memberitahu Agendadaily, beliau teruja melihat kehadiran ramai orang muda dalam majlis tersebut.
“Kami hanya mengharapkan NGO-NGO yang menyertai HIMPUN agar memobilisasi ahli mereka,” katanya ketika ditanya cara penganjur kumpul peserta program tersebut.
Ada yang kata angka 10,000 itu tanda kegagalan penganjur kumpul satu juta tapi kalau kita lihat dari sudut lain, angka 10,000 adalah angka kehadiran biasa bagi program-program besar PAS di Lembah Klang.
“Sebut apa saja program besar PAS samada di Stadium Melawati atau Taman Melewar, kehadiran mesti kurang atau lebih 10,000, sebab apa, sebab itulah akar umbi mereka,” kata bekas pemimpin PKR yang biasa dengan kerja-kerja mobilisasi penyokong PAS apabila program melibatkan Anwar Ibrahim.
“Jika di Kelantan atau Kedah mungkin boleh dakwa sehingga 50,000 tapi kalau di Lembah Klang, 10,000 itu angka sebenarnya,” katanya penuh yakin.
Jika ditolak satu pertiga daripada 10,000 itu untuk penyokong Perkasa, UMNO, dan NGO seperti PPIM dan PEMIMPIN yang dilihat condong kepada kerajaan, yang lain itu memang dikenali berat belah pembangkang.
Dalam bahasa mudahnya, perhimpunan petang Sabtu itu adalah manifestasi kekecewaan kelompok gerakan Islam kepada PAS Baru.
Mereka kecewa melihat PAS yang tunduk kepada Anwar, yang tunduk kepada DAP sehingga hilang jati diri parti itu.
Sehingga mereka sendiri (ketua-ketua NGO Islam) perlu ‘turun padang’ menjadi satu kumpulan pendesak baru tanpa lagi bergantung harap kepada PAS yang kini dilihat banyak berkompromi asas perjuangannya untuk meraih undi bukan Islam.
Soal kehadiran bukan isu besar, bagi mereka yang duduk dan menyaksikan betapa bersemangatnya kumpulan HIMPUN ini, pasti sedar tapak sokongan PAS sudah bergoyang.
Apatah lagi bila ada cadangan dari wakil-wakil NGO yang berucap, mahu menjelajah setiap negeri dengan HIMPUN dan disambut dengan laungan ‘allahuakbar’ yang gegak gempita.
PAS sehari dua lagi, akan merasai kesannya dan jangan terkejut sekali lagi parti menggunakan nama Islam itu menukar retoriknya seperti kes hudud baru-baru ini.
Selepas melihat PAS semakin hilang sokongan Melayu terutama di Kelantan, Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba-tiba membangkitkan semula soal pelaksanaan hudud yang PAS sudah tidak bincang sekian lama.
Hujah PAS kepada DAP dan Anwar mudah, orang Kelantan mengundi PAS sebab nak laksana hudud.
Di Shah Alam petang Sabtu, kisah Datuk Dr Hasan Ali yang hadir dan berdoa menutup majlis bukan sebagai pemimpin atau ahli PAS tetapi sebagai umat Islam (seperti kata pengerusi majlis) pasti menjadi bualan dikalangan gerakan Islam.
Terutama ratusan wakil NGO, yang khuyuk mengaminkan tatkala Hasan Ali dengan mata berair berdoa “Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati. Kekalkan kami di atas landasan Islam,”.
Stadium yang boleh memuatkan 100,000 pengunjung itu mungkin terlalu besar untuk 10,000 yang hadir, tapi gema doa munajat yang dibaca Hasan Ali, pasti berbekas di hati mereka yang mengaminkannya dan berkembang kepada yang lain juga.
Kita sama-sama lihat nanti.

Individu Islam Perlekeh Himpun Diselar

SHAH ALAM 22 Okt. – Tindakan sesetengah individu Islam yang memperlekehkan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bagi menentang gejala murtad negara ini amat dikesali.
Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad yang tampil sebagai pemidato pertama pada perhimpunan juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat individu tertentu mengatakan Himpun sebagai tidak relevan serta tidak mempunyai asas dalam Islam.
Sedangkan katanya, perhimpunan itu adalah simbolik kepada penyatuan umat bagi menentang gejala murtad di kalangan masyarakat Islam bagi menyelamatkan akidah mereka daripada dipesongkan oleh pihak tertentu.
“Ada individu Islam sendiri kata apa salah murtad, ada yang kata usaha mereka (bukan Islam) bekerja keras menyebarkan agama mereka maka patut mereka tuai hasil dan ada juga kata murtad tidak salah, ia kebebasan beragama.
“Isu yang membuat kita berhimpun pada hari ini ialah isu yang paling besar di sisi Allah iaitu murtad menolak risalah Islam, para anbia (nabi-nabi) dan tiada maksiat, tiada salah guna kuasa, tiada pencabulan hak asasi manusia paling besar di sisi Allah selain murtad.
“Maka, perhimpunan kita adalah atas asas yang paling besar iaitu untuk memperbesarkan apa yang dibesarkan Allah, Allah letakkan murtad dan pemurtadan sebagai kesalahan paling besar, isu paling besar dan paling perlu dapat perhatian,” katanya ketika menyampaikan pidato pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Seramai lapan pemidato tampil berucap pada perhimpunan tersebut mewakili pelbagai pertubuhan bagi menyuarakan keprihatinan masing-masing terhadap gejala murtad di negara ini.
Seorang lagi pemidato iaitu bekas pastor, Mohd. Farhan Abdullah pula mengutarakan cadangan agar Parlimen menggubal kembali Artikel 11 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan klausa ‘kebebasan beragama’ hanya terpakai bagi masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang terkeliru serta pihak yang sengaja mengelirukan masyarakat mengenai peruntukan undang-undang itu bagi memesongkan akidah umat Islam.
“Saya sendiri pernah terlibat dalam gerakan mengkristiankan umat Islam dahulu dan usaha ini dilakukan dengan begitu teliti serta terancang,” tegasnya.
Beliau juga mahu wakil-wakil Himpun yang terdiri di kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri (ADUN) dapat membawa usul tentang isu murtad agar dapat dibahas di Dewan Rakyat atau DUN.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan menggesa kesemua organisasi dan pengamal media tempatan supaya tidak menyelewengkan kefahaman agama Islam demi keuntungan masing-masing.
Katanya, penyelewengan di media boleh mengelirukan pelbagai pihak termasuk mahasiswa sendiri apatah lagi sejarah membuktikan pernah terjadi beberapa kes gerakan pemurtadan pelajar Islam di kampus-kampus universiti tempatan.
“Justeru, Gamis mengharapkan agar golongan yang disebut sebagai penyampai maklumat, media harus bebas beri maklumat betul kepada masyarakat (terutama dalam gerakan pemurtadan),” ujarnya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kegiatan pihak tertentu yang memperkecilkan institusi diraja dilihat semakin berani dan tindakan itu akhirnya akan merugikan penganut serta agama Islam dalam negara.
“Lebih menyedihkan gerakan itu turut didalangi oleh para pemimpin serta individu Islam sendiri,” katanya – utusan

No comments:

Post a Comment

Others Blog Archive