Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menyambut baik transformasi kerajaan dan juga transformasi politik Datuk Seri Najib Razak yang dilihat seiring dengan hala tuju serta pendirian institusi tersebut.
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata langkah kerajaan membatalkan tiga pengisytiharan darurat di Parlimen hari ini serta serta pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta pelbagai langkah lain merupakan satu langkah yang sesuai dengan generasi muda.
“Hari ini saya dan rakan-rakan rasa bangga sebab suara kita didengari oleh Perdana Menteri yang mana suara kita diambil kira dan pandangan kita sudah menjadi kenyataan hari ini samaada ISA, kebebasan akhbar, kebebasan untuk berhimpun dan lain-lain lagi.
“Pemuda BN gembira dan kita rasa hala tuju yang dibawa selama ini ada hasilnya apabila program transformasi kerajaan atau politik Datuk Seri Najib selari dengan kehendak kita yang mewakili generasi muda,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di PWTC, Khamis.
Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah program transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat adalah sedikit sebanyak hasil daripada laporan makmal Pemuda.
“Secara spesifiknya telah dengar daripada cadangan Pemuda BN melalui laporan makmal kita, melalui pendirian politik kita dan sekian lama beberapa pendirian untuk kerajaan memahami tuntutan zaman untuk kukuhkan demokrasi kita dan kita hormati dan julang kebebasan demokrasi kita.
“Apa yang kerajaan laksanakan hari ini adalah satu langkah tambahan di samping ucapan Datuk Seri Najib pada hari Malaysia baru-baru ini yang telah umumkan pemansuhan ISA dan akta kediaman terhad serta pindaaan kepada akta mesin cetak.
“Ini semua menjurus kepada transformasi kerajaan yang sesuai dengan tuntutan generasi muda hari ini. Generasi muda pada hari ini walapun masih lagi mementingkan kestabilan dan keselamatan tetapi menganggap hak asasi dan kebebasan dan juga demokrasi sebagai satu tunggak yang penting dalam permintaan mereka,“ katanya.
Serentak dengan itu, Khairy pada sidang media berkenaan turut mengumumkan secara rasmi slogan “BN Pilihan Orang Muda“ untuk pilihan raya kali ini yang memberi kebebasan kepada generasi muda untuk memilih pada masa akan datang.
“Kita tidak paksa dan kita cari satu slogan yang segar yang menghormati kebebasan dan hak serta pilihan yang ada pada orang muda untuk menentukan kerajaan pada masa akan datang.
“Oleh sebab itu dengan transformasi politik hari ini kita juga umumkan “BN Pilihan Orang Muda“ sebagai slogan kita yang menjadi satu-satunya tumpuan untuk kita terus dengan kempen kita, transformasi kita, touch point kita atau pelbagai program lain yang akan kita anjurkan untuk wujudkan touch point,“ katanya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment